

Konvensyen Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Tahun 2025 telah berjaya dilaksanakan pada 30 Oktober 2025 (Khamis) bertempat di Dewan Serbaguna KPKM, Putrajaya.
Program anjuran Seksyen Pengurusan Psikologi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, KPKM ini telah menghimpunkan ahli-ahli AKRAB dari pelbagai bahagian, negeri dan unit. Konvensyen ini bertujuan memperkukuh kebersamaan, meningkatkan kefahaman terhadap peranan AKRAB serta memperkasakan fungsi sokongan psikososial dalam perkhidmatan awam.
Sepanjang konvensyen, para peserta didedahkan dengan perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik berkaitan pengurusan kesejahteraan warga kerja. Penglibatan aktif peserta mencerminkan komitmen berterusan KPKM dalam membina persekitaran kerja yang sejahtera, prihatin dan menyokong kesihatan mental warga organisasi.
Penganjuran konvensyen ini diharap dapat terus memperkukuh jaringan kerjasama AKRAB serta menjadi platform berkesan dalam mempertingkatkan modal insan yang berdaya tahan, beretika dan seimbang dari segi emosi serta psikologi.