


PUTRAJAYA, 13 Mac 2026 – Majlis Sambutan Semarak Ramadan Jabatan Pertanian Tahun 2026 telah berlangsung dalam suasana penuh keberkatan di Dewan Serbaguna, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Program yang membawa tema “Raih Keberkatan, Subur Keimanan” ini telah dihadiri oleh warga Jabatan Pertanian termasuk ahli AKRAB, sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh penghayatan Ramadan, ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga jabatan.
Majlis yang bermula pada jam 4.00 petang hingga 8.30 malam itu diisi dengan pengisian kerohanian, tazkirah, bacaan al-Quran serta aktiviti berbuka puasa bersama. Penganjuran program ini turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara warga jabatan dalam suasana harmoni dan penuh kesyukuran.
Kehadiran warga Jabatan Pertanian termasuk AKRAB turut mencerminkan semangat kebersamaan, keprihatinan dan sokongan dalam membina persekitaran kerja yang seimbang dari aspek kerohanian, emosi dan sosial.
Melalui program seumpama ini, warga Jabatan Pertanian diharap terus istiqamah memperkukuh nilai kerohanian, meningkatkan keimanan serta membudayakan semangat prihatin dan kebersamaan dalam organisasi.
Semoga Ramadan kali ini menjadi medan untuk kita meraih keberkatan dan menyuburkan keimanan.